Saturday, August 17, 2024

GT Villa Chalet

GT Villa Chalet terletak di Janda Baik, Bentong, Pahang. Jarak perjalanan dari rumah kami  ke sini kira-kira 49 kilometer melalui Lebuh raya Karak. 


Banyak kemudahan ada disediakan oleh pihak pengurusan. Antaranya ialah chalet, tapak perkhemahan dan lain-lain. Saya berpendapat lokasi ini sesuai dijadikan tempat family day



Tempat ini bersuasana kampung di tepi sungai. Keadaannya sunyi dan bersih. Kami memacak khemah di bawah rumpun buluh.


Cuaca hari ini sedikit mendung. Hujan renyai-renyai turun sebaik sahaja kami selesai mendirikan khemah.  



Pada waktu malam hujan masih lagi turun walaupun tidak lebat.  Gambar di bawah diambil menggunakan night mode



Suasana pagi di GT Villa Chalet berkabus, nyaman dan tenteram. Matahari mula bersinar seketika. Namun begitu, cuaca kembali mendung menjelang tengah hari. Air sungai yang keruh petang semalam kembali jernih. 



Saya dan keluarga berkhemah untuk 2H1M sahaja. Perkhemahan pada kali ini turut disertai oleh beberapa buah keluarga yang lain. 

Sunday, July 7, 2024

D"Jeram Santai Campsite

Pada Ahad, 7 Julai 2024, kami berkesempatan ke D"Jeram Santai Campsite yang terletak di Jeram, Kuala Selangor. Jarak perjalanan dari rumah menuju lokasi perkhemahan kira-kira 72 kilometer. Sebelum sampai kami singgah untuk bersarapan dan membeli barangan basah bagi makan tengah hari di Pantai Remis.


Keadaan persekitaran campsite adalah bersih. Bilangan tapaknya pula terhad. Kami menyewa tapak nombor 6. Lot kami berada paling hujung di celah pokok ru, pokok ketapang dan pokok kelapa. 


Setiap tapak disediakan plag. Bekalan elektriknya ialah 24 jam. Selain itu, pihak pengurusan turut menyediakan tandas, lampu, kolam mandi berbayar untuk kanak-kanak dan sebagainya. 





Cuaca hari ini baik dan berangin. Kami tiba ketika air laut sedang surut. Pantai di kawasan D"Jeram Santai Campsite berlumpur dan tidak boleh mandi. 


Air laut mulai pasang kembali ketika waktu petang. Saya melihat beberapa buah kapal dagang sedang berlabuh di tengah Selat Melaka itu. 


Panorama indah laut lepas saat menjelang matahari terbenam.  Maha Suci Allah سبحانالل­ه



Di sebelah malam turun hujan renyai-renyai. Saya sekeluarga menginap di sini sekadar 2H1M sahaja. Kami bertolak pulang keesokan harinya. 

Sunday, February 25, 2024

Warisan Tok Ayah Campsite





Warisan Tok Ayah Campsite berada di Pantai Tapang, Kampung Kubang Golok, Bachok, Kelantan. Pantai Tapang merupakan pantai persendirian yang popular dan ramai pengunjung. Kami datang berkhemah pada 25 Februari 2024 untuk 2H1M.


Kami memasang tiga buah khemah iaitu Arpenaz Family 4.1, Deer Creek Hurricane Plus 8 Men Tent, Deer Creek Typhoon 6 Men Tent serta sebidang Quechua Tarp XL.





Cuaca panas dan berangin. Kemudahan asas seperti tandas, singki dan lain-lain ada disediakan. Bekalan elektrik adalah 24 jam.


Tapak khemah teduh di bawah pepohon kelapa. Pokok-pokok kelapa yang ditanam masih rendah sesuai dipasang hammock. Suasana malam masih berangin, nyaman dan tenteram. Bulan mengambang cantik terbit dari arah laut berserta bunyi deruan ombak. Bintang-bintang pula bertaburan di langit. Terima kasih Allah.


Sunday, February 11, 2024

Warisan Campsites Chenor


Warisan Campsites Chenor terletak di Maran, Pahang. Tapak perkhemahan ini berhampiran Sungai Pahang. Kami berenam mendaftar masuk pada 11 Februari 2024 selama 2H1M.



Selain daripada lot khemah, pengurusan kem turut menyediakan inap desa dan rumah rakit. Kawasannya berumput, luas dan terjaga. Pelbagai acara mahupun aktiviti boleh diadakan di sini. 


Gambar di atas kiri merupakan Rumah Bersejarah Chenor. Rumah tersebut dibina menggunakan kayu bermutu tinggi tanpa paku. Usianya telah melebihi 120 tahun.



Saya dan keluarga memacak tent di bawah pokok kuini yang besar. Pada sebelah petang hujan turun seketika.







Suasana kem berbeza daripada campsite yang pernah kami kunjungi. Saya sekeluarga bertolak pulang selepas Zuhur keesokan harinya.

Thursday, February 1, 2024

PD Mayangsari Campsite


Syukur kepada Allah. Hari ini kami dapat berkhemah di PD Mayangsari Campsite, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami bertolak dari rumah selepas Asar dan tiba di lokasi pada pukul 7.10 malam. Tarikh daftar masuk 31 Januari 2024.


Cuaca hari ini adalah baik. Keadaan pekan dan Pantai Port Dickson tidak sibuk kerana hari bekerja. Tapak perkhemahan juga lengang kurang pengunjung.


Saya bersama isteri serta anak-anak mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit bagi menyiapkan kem penginapan. Situasi malam tenang dan damai. Sesekali angin bertiup lembut menimbulkan suasana nyaman.





Saya dan keluarga menyewa tapak nombor 5 di bawah pohon ru menghadap ke arah laut. Kemudahan yang disediakan lengkap cukup memuaskan hati. Setiap lot ada plag elektrik dan bakul sampah masing-masing.



PD Mayangsari merupakan salah satu tapak perkhemahan yang terkenal di Pantai Port Dickson. Kawasannya luas, bersih serta cantik.






Kami sekeluarga bertolak pulang jam 3.25 petang 1 Februari 2024.